Pages

Followers

Thursday, August 21, 2008

31 OGOS VS 1 RAMADHAN


Klik gambar untuk paparan yang lebih jelas..




~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan yang memiliki seluruh alam, yang menguasai hari pembalasan serta yang menyusun atur perjalanan alam semesta dengan begitu sempurna tanpa sebarang cacat cela. Hanya Allah sajalah yang layak di puji atas kesempurnaan sifatNya yang tak mungkin sama dengan suatu apa pun yang terlintas di fikiran manusia.. Subhanallah.

Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah swt yang telah memanjangkan umur kita sehingga ke saat ini, sehingga kita layak untuk bertemu kembali dengan Ramadhan yang penuh keberkatan.Ramadhan.. satu bulan yang sangat-sangat dinantikan oleh orang-orang yang beriman.. bulan yang amat-amat dirindui oleh manusia yang hatinya ‘celik’. Bulan yang mana dibukakan pintu syurga seluas-luasnya, ditutup pintu neraka serapat-rapatnya, dirantai segala syaitan yang durjana.

Bulan ini juga teramat istimewa kerana apa sahaja yang dipohon, insyaAllah akan dimakbulkan, pahala pula diganda-gandakan…Di sinilah peluang kita untuk men’top up’ pahala yang sering kali terhapus dek dosa-dosa yang tak putus-putus kita lakukan.. Di sinilah juga bulan orang-orang yang beriman berpesta ibadah, berlumba-lumba merebut pahala yang tak pernah surut. Ibarat mengaut kekayaan di lautan permata.

Subhanallah, indahnya Ramadhan.., sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang terhadap hamba-hambanya. Setelah bergelut dengan hasutan syaitan selama 11 bulan, Dia hadiahkan satu bulan untuk kita bagi membersihkan hati kita yang telah gelap dek dosa. Bulan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Ramadhan.

Tahun 2008 menjadi saksi pertembungan 2 tarikh yang amat penting bagi setiap rakyat Malaysia, khususnya umat Islam. Kerana apa? Kerana pada tahun ini, perayaan sambutan kemerdekaan jatuh pada tarikh yang berhampiran dengan bulan yang sangat dinanti, iaitu Ramadhan. Di saat rakyat Malaysia menghitung detik untuk melaungkan Merdeka! Merdeka! Merdeka!, 1 Ramadhan juga bakal memberi salam ketibaan buat seluruh umat Islam pada malam keesokan harinya.

Persoalannya di sini, wajarkah kita meneruskan tradisi sambutan kemerdekaan yang penuh kemaksiatan di saat bahang Ramadhan kian dirasai? Seperti yang kita semua sudah maklum, di Malaysia, sudah menjadi kebiasaan bagi rakyatnya menyambut kemerdekaan dengan konsert-konsert hiburan daripada penyanyi-penyanyi terkenal tanah air, penari-penari pula melenggok-lenggokkan tubuh badan menghiburkan pengunjung, bunga api yang bernilai jutaan ringgit di letupkan di seluruh negara, tidak kurang juga yang menyambutnya dengan tegukkan ‘air kencing syaitan’, malah bagi yang lebih advance menyambutnya dengan pesta seks. Astaghfirullah.

Merdeka Vs Ramadhan. Suatu simbolik yang amat menarik. Ya. Perancangan Allah amat menarik. Mungkinkah detik ini merupakan detik permulaan berubahnya tradisi sambutan kemerdekaan turun menurun yang kita pertahankan selama ini?

Mungkin mulai detik ini sambutan kemerdekaan akan disambut bersesuaian dengan norma-norma yang telah digariskan oleh Islam. Majlis kesyukuran, bacaan yaasiin, solat hajat, solat taubat, bacaan ayat-ayat suci al-Quran didendangkan di corong-corong radio dan di setiap rumah, pendek kata Malaysia akan menjadi sebuah negara Islam contoh bagi negara-negara lain. Masjid-masjid dipenuhi dengan lautan manusia tanda kegembiraan yang tak terhingga dengan kehadiran 2 tarikh yang amat bermakna ini. Subhanallah, mungkinkah ini akan terjadi?

Sudah tiba masanya kita mengubah cara kita berfikir. Ya, inilah waktunya. Sampai bila kita mahu mengekalkan tradisi sambutan kemerdekaan yang penuh dengan kemaksiatan? Usah bongkak dengan Allah. Seandainya kita masih berani mengekalkan tradisi sambutan yang penuh kemaksiatan di bulan Ramadhan yang bakal menjelma tidak lama lagi, maka bersedialah dengan azab Allah. Jika kita masih lagi tegar meramaikan majlis-majlis sambutan kemerdekaan yang berunsurkan maksiat sedangkan majlis-majlis sambutan Ramadhan dibiarkan lesu, maka nantikanlah natijahNya.

Ayuhlah anak bangsa, agama kita adalah ISLAM. Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.. bererti, Islam itulah yang terhebat kerana ianya diciptakan oleh Allah. Yang menjadikan Islam itu mundur adalah umatnya yang tidak mahu melaksanakan ajaran Islam. Mustahil Allah akan menciptakan agama mahupun undang-undang yang tidak bersesuaian dengan umat manusia.

Sedarlah wahai anak bangsa, Allah yang mencipta kita, justeru, Dia lah yang lebih mengenali kita. Dia tahu apa yang terbaik untuk kita dan apa yang dapat memberi kebahagiaan kepada kita. Segala-galanya telah Dia gariskan dalam ‘manual’ yang Dia turunkan untuk kita iaitu al-Quran dan al-hadith.

Sesungguhnya, apabila seseorang itu benci melihat kemungkaran, maka dalam hatinya masih terselit sisa-sisa iman. Namun sekiranya tidak tercuit sedikit pun perasaan benci di hati di saat kemungkaran berlaku di hadapan mata, maka basuhlah hatimu, kerana hati itu telah kotor dan tidak mengandungi iman walaupun sebesar biji sawi.

Rasulullah saw bersabda “Barangsiapa melihat kemungkaran, hendaklah dia mencegahnya dengan tangan (kuasa), jika tak mampu, maka cegahlah dengan lidah, jika tak mampu, maka cegahlah dengan hati. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman..”

Ayuh kita lakukan perubahan., 31 Ogos kali ini bakal disinari cahaya Islam. Sama-samalah kita berusaha ke arahnya supaya kita tidak akan dipersoalkan di akhirat nanti. Moga 1Ramadhan ini menjadi titik perubahan bagi kita semua. InsyaAllah.

*Islam cara hidupku*

0 comments: